Wednesday, November 17, 2010

Langkah serius Proton Membangunkan teknologi enjin melalui Renault F1 Team

16 NOV - PROTON BELI 25 PERATUS EKUITI RENAULT F1 TEAM

PROTON Holdings Bhd (PROTON) dijangka memuktamadkan pembelian 25 peratus kepentingan ekuiti dalam pasukan Formula Satu (F1), Renault F1 Team yang dimiliki pengeluar kenderaan Perancis, Renault SA, minggu ini.

Sumber industri berkata, jika urus niaga itu menjadi kenyataan, pasukan itu akan dijenamakan semula sebagai Lotus-Renault bermula sesi perlumbaan musim baru tahun depan.

Katanya, urus niaga akan melakarkan sejarah baru khususnya bagi pengeluar kereta nasional itu dalam industri permotoran antarabangsa selepas menguasai pengeluar kereta sport Britain, Group Lotus Plc pada 1994.

PROTON juga, jelas beliau, bakal muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar Renault F1 Team selepas Genii Capital SA, firma pelaburan persendirian Luxembourg, yang memiliki 75 peratus pegangan ekuiti.

Katanya, selain memiliki kelebihan untuk bersaing secara individu tanpa bergantung kepada mana-mana syarikat lain dalam sesi perlumbaan F1 mulai tahun depan, PROTON turut memperoleh akses luas kepada pembangunan teknologi enjin F1.

Katanya lagi, justeru, dengan akses luas itu, ia dijangka menghasilkan satu pemindahan teknologi enjin yang besar kepada PROTON bagi pembangunan produknya untuk pasaran domestik dan antarabangsa pada masa depan, sekali gus mengukuhkan lagi jenama PROTON di persada industri automotif antarabangsa.

Pengerusi PROTON, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam, enggan menolak atau mengesahkan perkara itu. Sebaliknya, beliau menegaskan, pihaknya masih berunding dengan Renault berhubung satu urus niaga membabitkan perniagaan Formula F1.

Kelmarin, media Perancis yang berpangkalan di Paris, Le Figaro melaporkan pengeluar kereta negara itu, Renault bersetuju melupuskan baki 25 peratus pegangannya dalam Renault F1 Team kepada PROTON. Kedua-dua pihak juga, dilaporkan sudah bersetuju memuktamadkan kontrak pembelian itu secara rasmi Rabu ini di Perancis.

Katanya dalam laporan itu, selepas muktamadnya pembelian itu, Group Lotus muncul sebagai penaja utama dalam kumpulan perlumbaan baru itu dan ia akan membabitkan urus niaga berjumlah 30 juta euro (RM127 juta) setahun bagi tempoh lima tahun.

Renault, bagaimanapun akan kekal sebagai pembekal enjin utama kepada kumpulan perlumbaan baru itu selain meneruskan peranan pembekal enjin kepada dua lagi pasukan F1, iaitu Red Bull dan Lotus Racing tahun depan.

source: pmr.penerangan

No comments:

My Blog List