Gambar hiasan serta artikel adalah dari Funtastickodesign
"Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Proton melalui unit Powertrain & Media yang telah memenuhi permintaan saya supaya ia dapat dikongsikan & disampaikan kepada pembaca blog serta orang ramai, amnya. Ini merupakan inisiatif terbaru dari Funtasticko Design untuk memberi maklumat dengan lebih lanjut mengenai enjin terbaru dari Proton iaitu Campro CFE 1.6L. Saya telah mengajukan beberapa soalan kepada pihak Powertrain Proton & ini adalah soalan serta jawapan yang diberikan :
1. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan CFE? Ceritakan secara ringkas.
CFE ialah ringkasan kepada Charged Fuel Efficiency. Secara ringkasnya, enjin CFE inimemberikan tenaga seperti sebuah enjin 2.0 liter ketika diperlukan tetapi memberikan pulangan penggunaan minyak yang baik di dalam keadaan pemanduan santai, seperti memandu di lebuhraya, ketika melahu atau ketika memandu di dalam kesesakan lalulintas.
2. Adakah CFE ini enjin baru sepenuhnya ataupun masih lagi berasaskan enjin Campro tetapi dengan beberapa pengubahsuaian?
Enjin 1.6 liter Campro CFE dibina berdasarkan enjin Campro tetapi dengan peratusan besar pembaharuan yang terdiri dari komponen unik kepada enjin CFE sahaja.
3. Boleh ceritakan apa yang telah diubahsuai untuk enjin CFE ini? Ceritakan secara ringkas bahagian yang telah diubahsuai dan sebab-sebab pengubahsuaian.
Antara pengubahsuaian yang dilakukan ialah komponen-komponen utama seperti aci engkol, aci sesondol, rod penyambung, blok silinder dan kepala silinder enjin telah ditukar kepada rekabentuk baru.
4. Bagaimana cara CFE berfungsi?
CFE sebenarnya berfungsi di atas dasar mampatan paksaan (forced induction). Ia menggunakan daya gas ekzos berkelajuan tinggi untuk memusingkan pemampat yang akan kemudian memaksa lebih banyak udara luar masuk ke dalam kebuk pembakaran.
Udara tambahan itu akan dibekalkan dengan bahan api yang secukupnya untuk menjana lebih banyak tenaga. Hasilnya, enjin 1.6 liter Campro CFE mampu memberikan kuasa kuda seperti sebuah enjin 2.0 liter tanpa sistem mampatan paksaan.
Kelebihan enjin 1.6 liter Campro CFE ini ialah sistem pemampat hanya beroperasi selepas 2,000 RPM. Bila enjin bergerak di bawah paras tersebut, penggunaan bahan bakar akan menjadi lebih rendah dari enjin 2.0 liter.
5. Apa perbezaan antara Low Pressure Turbo (lazimnya dikenali sebagai Low Inertia Turbo) dan High Pressure Turbo (atau High Inertia Turbo)?
Low Pressure Turbo atau LPT menggunakan turbin yang kecil dan mampu beroperasi dengan halaju gas ekzos yang rendah (RPM enjin rendah). Oleh kerana itu, ia menghasilkan pemampatan (boost) yang rendah.
High Pressure Turbo pula memerlukan halaju gas ekzos yang lebih tinggi kerana turbin yang lebih besar. Hasilnya, mampatan yang lebih tinggi.
Enjin CFE menggunakan LPT kerana fokus lebih kepada daya kilas yang tinggi pada RPM yang rendah (low end torque). Ini akan membantu dari segi pecutan yang lebih mantap dan penggunaan minyak yang lebih rendah.
6. Kenapa Proton memilih unit turbin dari Borg Warner? Apakah kelebihannya?
Pilihan dilakukan berdasarkan rekacipta, kualiti dan harga yang berpatutan.
7. Apakah ada tambahan CVVT atau VVT pada CFE? Jika ada, apakah fungsinya?
Enjin 1.6 liter Campro CFE menggunakan teknologi injap VVT untuk mengoptimakan laluan udara segar ke dalam enjin pada RPM rendah dan tinggi. VVT juga membantu mengurangkan penggunaan minyak dan mengurangkan pencemaran udara kerana pembakaran adalah lebih lengkap.
8. Bagaimana untuk mendapatkan kuasa maksimum CFE dan cara untuk mendapatkan penjimatan minyak yang optimum semasa memandu?
Cara terbaik ialah mengekalkan kelajuan putaran enjin di bawah paras 2,000 RPM agar sistem mampatan paksaan tidak beroperasi.
Namun dalam keadaan di mana tenaga diperlukan, pendikit perlu ditekan rapat ke lantai supaya sistem transmisi CVT boleh menurunkan nisbahnya agar enjin beroperasi pada 5,500 RPM untuk kuasa maksimum.
9. Adakan CFE mempunyai “turbo lag” sepertimana enjin-enjin turbo yang lain dan bagaimana Proton mengatasinya jika ada?
Penggunaan LPT membantu enjin 1.6 liter Campro CFE ini untuk beroperasi selancar enjin N/A (tanpa sistem mampatan paksaan).
10. Apakah kelebihan CFE berbanding dengan enjin VVTI, VTEC, MIVEC, DVVT dan turbo yang lain? Ini akan membantu memperbetulkan “mindset” rakyat Malaysia yang selama ini terlalu teruja dengan teknolgi Jepun ini.
Sistem VVTI, VTEC, MIVEC dan DVVT adalah sistem-sistem teknlogi injap yang membantu pernafasan enjin pada RPM rendah atau tinggi. Enjin 1.6 liter Campro CFE menggabungkan teknologi injap VVT dan sistem mampatan paksaan untuk prestasi enjin yang baik pada sebarang kelajuan enjin.
11. Adakah kos penyelenggaraan CFE tinggi jika berlaku sebarang kerosakan?
Seperti enjin lain, enjin 1.6 liter Campro CFE memerlukan penyelenggaraan seperti yang disarankan di dalam Buku Panduan Pemilik (Owner’s Manual) dan Buku Servis Berkala (Periodic Maintenance Book). Dengan penjagaan rapi, enjin CFE ini tidak akan mendatangkan sebarang masalah dan kos penyelenggaran direka agar tidak begitu berbeza dengan enjin Campro biasa.
12. Apakah perancangan unit powertrain Proton pada masa depan? Adakah akan ada teknologi baru akan diperkenalkan?
PROTON mempunyai perancangan untuk memperkenalkan teknologi terbaru dan akan mengumumkannya bila tiba masa yang sesuai.
13. Berikan tips/petua untuk penjagaan enjin CFE supaya sentiasa dalam keadaan terbaik.
Seperti yang dinyatakan di dalam jawapan kepada soalan No. 11, pengguna disarankan mengikut jadual penyelenggaraan berkala yang ditetapkan.